SOALAN LAZIM (FAQ)
S1. : Kebelakangan ini masyarakat sering mengaitkan isi Melayu terpinggir dan kegagalan MAINPP memainkan peranan dalam membangunkan Tanah Wakaf di seluruh negeri Pulau Pinang bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Islam. Apakah strategi pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh MAINPP.
J1 : Kekangan utama dalam membangunkan tanah Wakaf selama ini adalah MAINPP tiada peruntukan atau dana bagi membangunkan harta wakaf. Walau bagaimanapun kini, MAINPP telah mengorak langkah bagi mengatasi masalah ini dengan beberapa kaedah seperti memohon peruntukan daripada kerajaan pusat melalui RMKe8 (RM40 juta) dan RMKe9 (RM100 juta), disamping menjalinkan usahasama dengan syarikat-syarikat GLC, memperolehi dana dan sumbangan korporat disamping mengembeleng sumber dalaman MAINPP sendiri, melalui penyatuan sumber hasil wakaf dan dana wakaf orang ramai. -
S2 : Beberapa artikel, majalah dan laporan media sejak sekian lama melaporkan bahawa premis-premis kediaman dan perniagaan berstatus wakaf telah dihuni oleh penghuni bukan Islam yang menjalankan aktiviti bertentangan dengan Hukum Syarak seperti perjudian, menjual arak, menjual khinzir dan menjual peralatan sembahyang bukan beragama Islam. Apakah ini benar? Apakah langkah yang diambil oleh MAINPP bagi mengatasi masalah ini?
J2 : Memang tidak dapat dinafikan sebelum pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1960, sebahagian besar permis wakaf MAINPP telah dihuni dikalangan masyarakat bukan beragama Islam dan masalah ini telah mencabar kredibiliti dan imej MAINPP menguruskan harta wakaf. Walau bagaimanapun sejak Akta Kawalan Sewa dimansuhkan tahun 2000 MAINPP telah mengambil alih premis-premis kediaman dan perniagaan sebagaimana dimaksudkan.
S3 : Pelbagai masalah keruntuhan akhlak, penganiayaan wanita/ibu tunggal, warga emas terbiar serta isu murtad yang menuntut peranan dan tanggungjawab MAINPP untuk menangani masalah ini. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh MAINPP untuk mengatasi situasi ini?
J3 : MAINPP menyedari tentang hakikat isu yang sedang mengancam masyarakat Islam kini, masalah ini tidak terlepas daripada perhatian, perbahasan dan perancangan MAINPP untuk mengatasi, dan sebagai langkah dalam menangganinya MAINPP telah membina sebuah Kompleks Warga Emas (Darul Hannan) di Pongsu Seribu yang boleh memuatkan 500 penghuni serta kemudahan jagaan harian, wad, pusat dialysis dan fisio thearaphy termasuk kelas-kelas pengajian. MAINPP juga telah mengubahsuai sebuah banglo yang diwakafkan di Jalan Makloom menjadi Pusat Perlindungan dan Bimbingan Wanita, membina Kompleks Anak Yatim di Pongsu Seribu, merancang untuk membangunkan Darul Hidayah (kompleks saudara baru) di Permatang Tok Gelam serta Pusat Latihan Zakat di Pantai Acheh Balik Pulau untuk tujuan member latihan dan motivasi kepada masyarakat Islam terutama golongan Asnaf yang terlibat. Mudah-mudahan dengan terbinanya prasarana ini, ianya akan dapat menjadi asas kepada langkah seterusnya untuk membendung dan menangani masalah ini dengan lebih berkesan.
S4 : Berbagai persoalan yang dilontarkan oleh masyarakat kepada MAINPP mengenai kaedah dan cara pengagihan wang zakat dilaksanakan seolah-olah tidak mengikut Hukum Syarak. Bagaimanakah wang zakat telah diagihkan dan sejauh manakah keberkesanan kaedah agihan tersebut dalam membantu golongan asnaf yang dimaksudkan?
J4 : Pengagihan zakat yang telah dilaksnakan PUZ MAINPP adalah berdasarkan kepada dalil yang amat jelas di dalam al-Quran al-Karim surah at-Taubah ayat:60.
Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, PUZ MAINPP telah menyediakan pelbagai skim bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan tergolong dalam asnaf zakat dengan menumpukan kepada program-program pembangunan asnaf dan mengeluarkan golongan asnaf daripada suasana kefakiran dan kemiskinan selaras dengan kehendak syara’. Skim bantuan yang diperkenalkan tidak akan terkeluar dari ruang lingkup lima perkara asas yang terkandung dalam ‘maqosid syar’iyyah’ iaitu:-
1 Memelihara agama
2 Memelihara nyawa dan diri
3 Memelihara akal fikiran
4 Memelihara maruah dan keturunan
5 Memelihara harta benda
Bagi tujuan itu juga, PUZ MAINPP telah menumpukan pelaksanaan program agihan zakat seperti berikut:-
1 Pembasmian kemiskinan dan kemiskinan tegar
2 Pembangunan modal insan
3 Pembangunan pendidikan
4 Peningkatan kualiti hidup
5 Peningkatan taraf kesihatan
6 Pembangunan usahawan
7 Pembangunan institusi MAINPP
Semua perancangan ini dibuat dan dilaksanakan sesuai dengan keadaan dan uruf semasa keperluan masyarakat Islam dan mendapat kelulusan dari ahli jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi:
Puan Noor Diana binti Noorazis
Pen. Pegawai Komunikasi & Korporat
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang